‘Sebijik Macam Wati Filem Sembilu’ – Erra Fazira Kongsi Foto Selfie, Tapi Wajah Aleesya Pula Jadi Bualan

” Tu Erra Fazira (merujuk pada Aleesya) waktu filem Sembilu dulu ke?”

Demikian komen usikan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini sebagai respon kepada perkongsian foto oleh selebriti terkenal Erra Fazira bersama anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 12.

Gambar tersebut turut menarik perhatian peminat apabila mendkwa wajah kanak-kanak itu persis seperti ibunya ketika berlakon dalam filem Sembilu, kira-kira 30 tahun lalu.

Menerusi hantaran tersebut, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 47, memuat naik fotonya bersama Aleesya ketika bersantai di rumah.

Wajah Aleesya yang polos tanpa mengenakan secalit solekan itu ternyata menarik perhatian peminat ibunya termasuk oleh pereka duo popular, Rizman Ruzaini.

Usikan Rizman itu ternyata mendapat persetujuan daripada netizen yang turut beranggapan bahawa wajah Aleesya persisi seperti ibunya ketika zaman muda.

” Rambut dia sama macam watak Wati (watak Erra) dalam filem Sembilu,” kata seorang pengguna Instagram.

Selain filem Sembilu, ada juga netizen menyamakan wajah Aleesya seperti ibunya ketika berlakon dalam filem Maria Mariana.

” Baru-baru ini tengok Maria Mariana. Sama betul muka Maria (watak Erra) dengan Engku Aleesya. Cuma kening dia ikut ayahnya,” kata salah seorang pengguna.

Menerusi hantaran tersebut, Erra sempat menyampaikan pesanan kepada orang ramai supaya mematuhi arahan ‘lockdown’ oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

” Harap semua orang amalkan ‘lockdown’ sehabis baik. Moga kali ini kita beroleh kejayaan buat Malaysia dan selepas ‘lockdown’, wajib terus amalkan kendiri. Kalau tidak pusing-pusing benda yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, selebriti yang digelar Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu turut menzahirkan pujian kepada pihak kerajaan kerana menyediakan vaksin untuk rakyat Malaysia.

” Kepada kerajaan, moga lebih aktif dan efisien dalam menyelenggara vaksin untuk rakyat. Terima kasih kerana memikirkan cara untuk membantu rakyat pada saat kritikal ini.

” Kepada segelintir rakyat, hentikan menuding jari. Kita jaga kita.

” Menuding dan menyalahkan tidak membantu untuk kita menjadi manusia positif yang menyumbang ke arah kebaikan,” jelasnya.

Terdahulu, cerita mengenai kecantikan wajah Aleesya hangat diperkatakan ramai ketika hadir pada majlis pernikahan bapanya Engku Emran Engku Zainal Abidin berkahwin dengan Noor Nabila Mohd Noor pada 23 Mac lalu.

Ketika itu, Erra berkongsi keterujaan Aleesya yang mendapat ‘adik baharu’.

Menurut Erra, Aleesya sering meluahkan hasrat untuk memiliki adik dan impiannya menjadi nyata apabila Nabila yang juga kakak kepada Neelofa, mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun, Jebat Jayden, hasil perkahwinan dengan bekas suami, Sharnaaz Ahmad.

” Selain gembira ada emak baharu, lebih mengujakan Aleesya apabila dia turut mendapat adik iaitu Jayden. Selama ini, dia begitu teringinkan adik.

” Apabila ada Jayden, Aleesya tampak cukup menyayangi adik tirinya itu.

” Bibirnya tidak putus bercerita mengenai keletah Jayden yang disifatkan sebagai budak bijak berbanding usianya yang masih kecil,” katanya.

Alessya tidak izinkan Erra kahwin lagi

Biarpun tiada pertalian drah, penyanyi Menangkah Cinta ini yakin Aleesya mampu menyesuaikan diri dengan keluarga baharunya itu.

” Selama 11 tahun menjadi anak tunggal, mungkin agak kekok untuk Aleesya menjadi kakak. Namun, saya selalu berpesan supaya dia menjadi seorang kakak yang baik dan menjaga Jayden dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya soal jodoh, Erra berkongsi cerita lucu apabila Aleesya menghalang dirinya berkahwin lagi.

” Saya ada usik Aleesya konon mahu berkahwin. Namun, jawapan Aleesya, dia tidak kisah kalau ayahnya berkahwin, asalkan saya tidak.

” Saya harap itu hanyalah sekadar gurauan kerana saya hendak juga berkahwin jika bertemu lelaki idaman,” ujar Erra sambil tertawa.

Sumber:k0smo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*