‘Mungkin Sy Tak Sesuai Nyanyi Dgn Ton Suara Yg Bukan-Bukan’ – Luahan Bandi Amuk, Tak Jadi Buka Topeng

” Saya pun tak sedih tersingkir sebab saya tahu keupayaan saya setakat mana..”

Demikian luahan penyanyi Bandi Amuk selepas beliau gagal menyerlah dan tidak dapat meneruskan saingan ke peringkat suku akhir Gegar Vaganza 8 (GV8).

Bandi mengikut jejak langkah Upiak Isil, Datuk Fazley Yaakob dan Nico G apabila menjadi bintang keempat tersingkir pada konsert ketujuh Gegar Vaganza 8 (GV8), yang berlangsung Ahad.

Bandi bagaimanapun berlapang dada dan menerima penyingkirannya secara optimis.

” Saya tak kisah pun sebab saya sudah berikan yang terbaik pada hari ini, sekadar termampu. Saya pun tak sedih tersingkir sebab saya tahu keupayaan saya setakat mana.

” Saya berpegang pada prinsip saya dan mungkin saya tak sesuai nyanyi dengan ton (suara) yang bukan-bukan. Tapi tak bermakna saya tak boleh buat, cuma saya dah lama tinggal.

” Juri punyai pendapat dan saya menyokong, bersetuju sebulat suara.

” Lagipun saya menganggap Tok Ram (Ramli MS) sebagai kilang ilmu. Saya bersetuju dengan keputusannya dan dia yang mengajar saya untuk menjadi lebih bagus.

” Kalau duduk dengan dia, saya dah anggap seperti bapa saya sendiri,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat memberitahu hasratnya untuk membuka topeng sekiranya berada di pentas final tidak kesampaian.

” Saya tak umpan apa-apa, saya memang ada pasang niat kalau berada di top 3 sebagai hadiah kepada peminat yang sudah lama menyokong saya. Tapi Allah tak izinkan.

” Mungkin sampai tahap ini, jadi niat itu terkubur. GV sebuah program besar dan kalau nak buat sesuatu biarlah semua orang tahu siapa saya.

” Tapi selepas menyatakan hasrat untuk membuka topeng, ramai yang marah dan minta jangan buka. Buat apa nak gadaikan aset saya, ini trademark saya sejak sekian lama. Jadi saya pun terfikir balik,” katanya.

Tegas Bandi lagi, prinsip perjuangan dalam dunia rock bersama Amuk sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada hidupnya, maka sukar untuk dia menukar hala tuju muzik dan minatnya.

” Apa yang saya perjuangkan bersama Amuk dari dulu sampai sekarang terlalu besar. Nak saya menyanyi dengan stail berbeza rasanya sedikit sulit.

” Saya tak belajar dari mana-mana dan saya berpegang dengan apa yang saya buat. Bersama Amuk, saya bangga!

” Walau tujuh minggu dalam GV8, sejarah bersama Amuk saya takkan korbankan,” tegasnya yang bakal meneruskan program yang tertangguh bersama Amuk sejak menyertai GV8.

Bandi mendapat markah tercorot iaitu 53.8% selepas kumpulan duo Sa.Ya yang mengutip markah 54%.

GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Terdahulu konsert minggu ketujuh bersama tema ‘Kelentang Kelentong’ menampilkan lagu tugasan berentak rancak itu menyaksikan Bandi menyanyikan lagu I Want To Break Free yang asalnya didendangkan oleh Queen.

Manakala, penyanyi Nikki Palikat yang mempersembahkan Rindu nyanyian asal Hetty Koes Endang dijulang di kedudukan pertama bersama dengan markah 72.30%.

Beliau sekaligus menjadi penerima Anugerah Bintang Paling Power Meow untuk minggu yang ketujuh.

Lapan lagi peserta yang memberikan saingan ialah Adibah Noor, Suki Low, Aliff Aziz (Singapura), Aweera, Shidee, Azan Scan, Ani Mayuni dan Saiful Apek & Yassin Senario.

Kesemua peserta diadili oleh pihak juri profesional tetap yang terdiri daripada maestro tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal Datuk Syafinaz Selamat, bersama penampilan juri jemputan, Datuk M.Nasir.

Berikut adalah markah hasil penilaian prestasi persembahan minggu ini:-

Carta Kedudukan Dan Markah Peserta Konsert Gegar Vaganza 8 (2021) Minggu Ketujuh

1. Nikki Palikat (Rindu) – 72.30%
2. Aliff Aziz (Pesan Cinta) – 71.90%
3. Suki Low (Mara Bahaya) – 69.70%
4. Azan Scan (Pelita) – 64.90%
5. Ani Maiyuni (Jikalau Abang Merindu) – 63.30%

6. Shidee (Selamat Tinggal Pujaan) – 59.40%
7. Aweera (Noktah Cinta) – 57.50%
8.Adibah Noor (Berdiri Bulu Romaku) – 56.70%
9. Saiful Apek dan Yassin / Saya (Peronda Jaket Biru) – 54.00%
10. Bandi Amuk (I Want To Break Free) – 53.80%

Fakta menarik Bandi Amuk

Sempena penyingkiran Bandi dalam pertandingan Gegar Vaganza musim-8 (GV8), pihak Muzik Jalanan ingin berkongsi sedikit fakta dan profil mengenai Bandi.

Pemilik nama sebenar Nasabandi bin Jumat ini lahir pada 15 September dan kini berusia 54 tahun (2021).

Bandi berasal dari Johor, mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, Johor Bharu.

Selain dikenali sebagai Bandi Amuk, beliau juga dikenali dengan nama Nasha Febians.

Ini kerana beliau asalnya adalah vokalis kumpulan Febians (atau dikenali sebagai D’Febians dan The Febians) yang pernah terkenal dengan lagu Untuk Mu Sayang dan pernah merangkul kemenangan dalam pertandingan Juara Rock 1983.

Selepas menjadi vokalis kumpulan Amuk, beliau terkenal dengan imej bertopeng serta memperjuangkan genre muzik Heavy Metal, Rock dan Balada Rock.

Kemunculan awal Bandi sebagai penyanyi pada tahun 1979 di mana beliau bersama Febians, beliau merakamkan album Febians (1988), diikuti 1001 Malam (1989), Satu Antara Sejuta (1991) dan Lang Buana (1994).

Seterusnya beliau dikenali dengan nama Bandi selepas penubuhan kumpulan Amuk yang terbit dengan album sulung berjudul Tanpa Prejudis (1998).

Bandi pernah berkongsi cerita dia mula belajar mengaji pada tahun 2017 sebelum sertai Gegar Vaganza 2021.

Kata Bandi, dia mengambil masa 3 tahun lebih untuk khatam. Dalam 3 tahun ini pihak produksi ada mempelawa beliau untuk masuk GV tapi beliau cakap memang tak boleh.

Sumber:gempak, iluminasi dan wikipedia.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*