‘Kawan Kerja Cat Jalan Dengan Saya Cakap, ‘Kau Apahal GiIer’ – Dulu Hairul Azreen Ditertawakan

Pepatah Melayu menyebut, ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’ bagi menggambarkan kejayaan dan kecemerlangan hidup tidak datang dengan sendiri.

Begitu juga dengan perjalanan hidup pelakon dan pengarah filem, Hairul Azreen yang boleh dijadikan inspirasi kerana suami pengacara Hanis Zalikha ini bermula sebagai tukang cat jalan raya dan kini sudah memiliki perniagaan sendiri.

Malah, Hairul, 33, berkongsi cerita dirinya pernah digelakkan rakan sekerja mengenai impian besar untuk memiliki kereta mewah sewaktu dia bertugas sebagai tukang cat jalan raya pada 2007 lalu.

Pemilik nama sebenar Hairul Azreen Idris itu berkata, dia tidak pernah lupa pada insiden lama itu (digelak rakan sekerja) yang baginya menjadi bukti bahawa tidak salah untuk menyimpan angan-angan besar.

” Masih tak lupa masa saya kerja cat jalan 2007. Masuk kerja jam 12 tengah malam, habis kerja jam 5 pagi, sebab orang sudah siap nak pergi kerja.

” Tapi masa kerja itu, ada kereta-kereta ‘sport’ laju lalu sebelah saya, lepas itu saya apa lagi terus menjerit satu hari nanti, saya kerja rajin-rajin dan beli ‘sebiji’ (kereta).

” Selepas itu kawan yang kerja cat dengan saya cakap, ‘Kau apahal? Gila!’,” katanya.

Pelakon filem Paskal itu juga percaya kata-kata juga sebenarnya doa, selain bekerja-keras memajukan diri demi mencapai sesuatu impian dihajati.

” Kalau inginkan sesuatu atau impian kita itu digelakkan kawan, maknanya impian kita itu besar dan bagus untuk kita tuju sebab kata-kata itu doa,” katanya.

Kisah Hairul yang bekerja sebagai buruh mengecat jalan sebenarnya pernah tular beberapa tahun sebelum ini.

Hairul yang berkongsi gambar beliau sedang mengecat ‘divider’ di sebuah lebuh raya pada 2017 telah berpesan supaya berbuat baik dan menghargai dengan semua orang, tak kira siapa pun mereka.

Tambah Hairul lagi, ijazah terbaik adalah datang dari pengalaman hidup.

” Akhirnya jumpa juga gambar salah satu kerja yg pernah saya buat iaitu kerja cat jalan 2006.

” Saya punyalah malu tak nak amik gambar masa tu ,takut gf tahu dia lari..

” Lepas tu menyesal napa la tak amik gambar untuk kenangan, maklom la telefon Nokia 3310 zaman tu , ini pun boss highway Kesas saya yang ambilkan..” tulis Hairul.

Rata-rata pengikut IGnya kagum dengan Hairul yang sentiasa mahu memajukan diri biarpun sanggup bersusah-susah dahulu.

Info menarik Hairul Azreen

Dilahirkan pada 23 April 1988, di Kuala Lumpur, Hairul merupakan anak kepada Idris Ali dan Habsah Desa. Beliau mempunyai adik-beradik seramai empat orang, beliau ialah anak kedua.

Hairul memulakan kerjaya dalam dunia hiburan sebagai pelagak ngeri sebelum bergiat aktif sebagai pelakon. Beliau merupakan Juara Fear Factor Malaysia (Musim 1) bersama Dazrin Kamarudin.

Menerusi kerjaya sebagai pelakon, beliau telah membintangi beberapa siri drama TV termasuk Bio-Nik (2009), Ponti Anak Remaja (2010), Setia Hujung Nyawa (2013) dan Misiku Kuza (2013–2014).

Antara filem lakonan beliau ialah Hantu Kapcai (2012), Gila-Gila Remaja 2 (2013), Pak Pong (2017) dan PASKAL (2018).

Hairul berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau mempelajari seni mempertahankan diri Taekwondo, sekaligus menerima tali pinggang hitam serta pernah menjadi atlet Sukan Malaysia 2004 untuk kontinjen Selangor.

Selepas tamat SPM, Hairul bekerja sebagai tukang cat jalan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan bayaran RM50 sehari.

Beliau pernah berdepan risiko dilanggar kenderaan yang dipandu laju ketika melakukan tugas mengecat. Beliau kemudian bertukar kerja sebagai penarik kereta bagi mereka yang tidak melangsaikan bayaran bank.

Hairul berkahwin dengan pelakon Hanis Zalikha pada 2015. Pada majlis pernikahan itu, Hairul menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 dan sebentuk cincin manakala wang hantarannya sebanyak RM91, 019.90.

Untuk info juga, Hairul pernah memiliki dua kenderaan mewah iaitu kereta Nissan GTR jenis R35 dan motosikal superbike BMW jenis Blue Shark S 1000 RR. Namun keduanya telah dijual pada Januari 2019 atas faktor bernazar bakal memiliki cahaya mata kedua.

Selain itu beliau turut mengikut jejak pelawak Shuib dengan membuka cawangan air minuman Bubble Bee di Putrajaya.

Sumber:hmetro dan wikipedia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*