‘Melati Tak Dapat Bersama Kami’ – Syaiful Zero Kini Sibuk Cari Bot, Dia Betul2 Buat Apa Yang Dia Dah Janji

” Melati (Syaiful) tak dapat bersama dengan kami di sini sebab dia kini sibuk dengan beberapa urusan antaranya mencari bot nelayan”

Itu penjelasan pelawak Sharif Tiro yang menceritakan abangnya, Syaiful kini giat mencari bot nelayan untuk membantu golongan remaja di kampungnya di Sabah yang mencari punca pendapatan sebagai nelayan.

Sharif berkongsi tentang Syaiful atau popular dipanggil Melati yang tidak hadir ketika anggota kumpulan Tiro ketika ditemui di majlis anjuran Tiro bersama peminat, malam semalam.

” Melati (Syaiful) tak dapat bersama dengan kami di sini sebab dia kini sibuk dengan beberapa urusan antaranya mencari bot nelayan.

” Bot itu bertujuan untuk digunakan oleh golongan remaja di kampung kami di Kudat, Sabah,” katanya kepada HarianMetro.

Tambah Sharif, inisiatif itu diambil oleh Melati untuk membantu golongan remaja yang mencari peluang pekerjaan sebagai nelayan.

” Di kampung kami, pekerjaan utama adalah dalam sektor perikanan. Ramai golongan remaja di sana keluar ke laut untuk mencari rezeki sebagai nelayan.

” Kebanyakan mereka selesa mencari rezeki di kampung dan tak berpeluang untuk berhijrah. Jadi, dengan adanya inisiatif daripada Melati, diharap ia dapat membuka peluang pekerjaan buat golongan remaja,” katanya.

Sebagai permulaan, Melati akan mencari bot nelayan yang boleh memuatkan sekitar 18 nelayan dalam satu masa.

Selain itu, Sharif juga memaklumkan bahawa abangnya itu kini sibuk juga menguruskan misi bantuan mangsa banjir di Sabah.

” Ada beberapa misi bantuan yang membabitkan Melati di sana. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kami akan adakan satu lagi majlis bersama-sama dengan Melati,” katanya.

Selain Sharif, turut hadir adalah anggota kumpulan Tiro, Danial Zaini.

Terdahulu, kumpulan Tiro diumumkan sebagai juara program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) dan berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM500,000 berserta trofi.

Syaiful sebelum itu berkata dia mahu membeli sampan bagi kegunaan orang kampungnya di Kampung Pantai Bahagia, Kudat, Sabah.

” Saya memang sudah niat, kalau ada rezeki malam ini (pentas akhir) saya nak menunaikan umrah dan beli satu sampan. Saya nak bagi peluang pekerjaan untuk orang kampung pergi kelaut. Sebab kami tinggal di perkampungan nelayan,” katanya.

Sharif pula mahu membuat simpanan dan pergi menunaikan umrah.

Sementara Danial Zaini mahu simpan sebagai persediaan kahwin.

” Saya sudah 28 tahun, jadi nak kahwin. Duit kemenangan nak simpan untuk kahwin. Selain itu kalau ada rezeki nak tunaikan haji,” katanya.

Pada pentas akhir, TIRO menewaskan empat finalis lain iaitu BORO (Achey, Atu dan Fad); PUTEH (Mamak, Vicha dan Ali); TOBAT (Ajak Shiro, Bell Ngasri dan Ropie Sharif); dan BAHYE (Zahid, Nizam Jentik Jentik dan Shashic).

Zero sudah biasa kerja kampung

Dalam satu temubual sebelum ini, Sharif pernah mendedahkan kisah suka duka sebelum bergelar pelawak.

Berasal dari Kudat, Sabah, tiada siapa menduga kumpulan Zero kini sebaris pelawak terkenal tanahair.

Terdiri dari 3 orang adik-beradik, kumpulan Zero dianggotai oleh Mohd. Syaiful Doli Sharif (Syaiful) 33 tahun, Mohd. Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif) 31 tahun dan Sharid Kunal Doli Sharif (Atu) 29 tahun.

Menurut Sharif pekerjaan mereka sebelum bergelar pelawak ialah nelayan dan buruh kasar. Hanya pekerjaan itu sahaja yang menjadi kepakaran mereka bertiga semenjak kecil.

Mereka juga akui kurang berpelajaran dan hanya pertaruhkan bakat yang sedia ada sahaja.

Disebabkan itu juga Syaiful sebagai abang sulung terpaksa berhenti belajar di tingkatan satu kerana kesempitan wang dan bekerja untuk mencari rezeki.

Pemergian ayah menjadi pembakar semangat kepada kami untuk mengubah kehidupan sedia ada. Hal ini kerana tanggungjawab untuk meneruskan kehidupan dipikul penuh oleh mereka adik-beradik setelah kehilangan ayah.

” Sudah menjadi lumrah kami sebagai suku kaum Bajau yang tinggal di pesisiran pantai dan bekerja sebagai nelayan.

” Kami berharap agar dapat menjadi pengusaha ikan dan mempunyai kedai sendiri di Kudat, Sabah suatu hari nanti.

” Sejak kecil sehingga dewasa, kehidupan kami hanya berkisar di kampung sahaja.

” Memang kami budak kampung sudah terbiasa dengan aktiviti kampung dan pelajaran bukanlah menjadi keutamaan pada ketika itu.

” Alhamdulillah, sedikit pintu rezeki dibuka bagi kami kini untuk meneruskan kehidupan dan saya berharap pentas lawak ini mampu menjadi platform kami supaya lebih berjaya dalam bidang seni.” akhiri Sharif.

Sumber:hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*