‘M. Nasir Pndang Atas Bawah’ – Kisah Nizam Laksamana Pegi Jmpa M. Nasir Minta Lagu, Smpai Sudah Tak Dpt

” Walau berkali kau membenci.. Cintaku takkan hilang.. Himpunkan semua kemaafan.. Dengarkan oh rintihan…”

Bagi peminat tegar kumpulan rock zaman 80 – 90an pastinya tahu tajuk dan siapa penyanyi lagu ‘berhantu ini’ yang masih dinyanyikan sehingga kini.

Bait awalnya cukup mengasyikkan. Tidak dinafikan lagu Gugurnya Bunga Cinta inilah yang melonjakkan nama kumpulan Laksamana di persada muzik rock tanah air sekitar era 90-an, malah ada melabelkan lagu ini punyai aura tersendiri.

Itulah sebab lagu ciptaan Ismail Ahmad Nawab ini masih kekal relevan dan diminati sehingga hari ini. Kekuatan sesebuah kumpulan rock yang lahir di era tersebut pastinya melalui lagu yang dimuatkan dalam album.

Gambar: Nizam sewaktu berusia 26 tahun. (sumber: Instagram Nizam Laksamana)

Ketika itu paras rupa bukan taruhan utama, malah penanda aras lebih kepada penerimaan peminat terhadap lagu sesebuah kumpulan itu.

Bersama Mingguan Malaysia, penyanyi utamanya, Nizam Arjuna berkongsi kisah dan pengalaman beliau sebelum bergelar artis.

Menurut anak kelahiran Sri Menanti Negeri Sembilan ini, muzik rock dan dirinya memang tidak boleh dipisahkan walaupun usianya kini sudah mencecah 54 tahun.

” Abang sudah aktif dan berjinak-jinak dengan rock ini ketika awal tahun 80-an lagi. Waktu itu idola abang ialah Ramli Sarip.

” Tapi sekadar minat dan tidak pernah terfikir sampai nak tubuhkan kumpulan dan buat album.

” Habis sekolah pada 1983, abang terus ke Kuala Lumpur cari kerja. Alhamdullilah, waktu itu abang dapat kerja sebagai budak pejabat.

” Jodoh abang dengan kerja itu tak lama. Abang ambil keputusan balik semula ke kampung.

” Waktu itu tak tahu nak buat apa, abang banyak habiskan masa melepak dengan seorang sepupu sebab dia pandai main gitar, jadi disebabkan abang ini suka menyanyi selalulah abang jamming berdua dengan dia,” katanya

Bersaing dengan kumpulan rock Olan, Medicine

Setelah memikirkan tiada apa yang boleh dibuat di kampung, Nizam akhirnya ambil keputusan untuk berhijrah sekali lagi ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kali ini dia datang dengan satu azam iaitu ingin menyambung pelajaran. Lantas dia mencari arah tuju meneruskan cita-citanya itu.

” Abang akhirnya ambil keputusan sambung belajar dan ambil kos Mekanikal Engineering di salah sebuah kolej swasta di Bangsar.

” Tapi yang lawaknya abang mampu bertahan hingga setahun setengah saja sebab makin lama makin susah dan abang tak boleh nak follow, maklumlah kita ini bukannya pandai sangat subject Sains dan Matematik.

” Abang pun tak tahu kenapa boleh pilih kursus ini, mungkin sebab glamour kot.

” Sekali lagi abang balik kampung dan kali ini berniaga burger dan ayam goreng di pasar malam Seremban.

” Nak jadikan cerita, majikan abang juga cukup minat dengan muzik dan ada studio sendiri, jadi lepas kerja abang dan rakan-rakan akan jamming di studionya.

” Majikan abang juga buat perkhidmatan sewa PA system untuk majlis kenduri kahwin. Jadi setiap hujung minggu itu banyaklah tempahan diterima.

” Secara tak langsung abang dan rakan-rakan berpeluanglah buat persembahan.

” Ketika itu kumpulan abang sudah mula bersaing dengan band-band rock sekitar Negeri Sembilan seperti Olan, Kejora dan Medicine,” katanya sambil ketawa.

Hampir tiga tahun juga Nizam dan kumpulannya, Ehsan aktif bermain di rumah orang kahwin, sehinggalah pada satu hari kumpulannya menerima tawaran untuk mengadakan persembahan di sebuah kelab di Jalan Imbi, Kuala Lumpur bagi menggantikan kumpulan CRK yang tidak dapat hadir.

Ibarat bulan jatuh ke riba. Mereka lantas menerima tawaran tersebut walaupun sekadar menyanyikan lagu-lagu ‘cover’. Tanpa disedari persembahan mereka malam itu ditonton oleh Ismail Ahmad Nawab yang kebetulan ada di situ.

” Pada mulanya memang tak percaya bila Ismail tawarkan kami untuk buat album kerana kami bukannya ada pengalaman dan tidak pernah sertai mana-mana pertandingan, namun itulah rezeki.

” Maka bermulalah lembaran baharu kami sebagai anak seni. Waktu itu juga barulah kami tahu betapa susah dan azabnya untuk bergelar artis.

” Berkampung berpuluh jam di studio, mengulangi perkara sama berpuluh kali untuk jadi perfect, sehinggakan rasa patah semangat.

” Kami bernaung di bawah label gergasi BMG muzik. Datuk Ahmad Nawab tukar nama kumpulan Ehsan kepada Laksamana.

” Album Syukur yang mempertaruhkan lagu Gugurnya Bunga Cinta berjaya lonjakkan kumpulan Laksamana ketika itu sehingga album pertama berjaya mencecah jualan sehingga 60.000 unit,” katanya

Namun panas tidak berlarutan hingga ke petang. Kejayaan album pertama bukanlah penanda aras buat kumpulan Laksamana terus berada di mercu carta.

Minta lagu dengan M. Nasir, M. Nasir pandang atas bawah

Pembikinan album kedua, Resah tidak seperti yang diharapkan. Nizam dan rakan-rakan mengakui album tersebut dilihat kurang menyengat sehingga tidak mampu menyaingi angka jualan sebelum ini.

” Waktu itu memang kecewa. Ketika berada di pejabat syarikat rakaman, abang terserempak dengan M.Nasir. Abang terus jumpa dia.

Tujuannya hanyalah nak minta dia sumbangkan lagu untuk kumpulan Laksamana, maklumlah zaman itu siapa yang tak kenal dengan M.Nasir. Setiap kumpulan rock pasti inginkan sentuhan beliau.

” Tapi M. Nasir hanya pandang abang atas dan bawah. Lepas itu dia cakap, “Kau lari jauh dahulu, nanti bila kau penat kau datang balik.”

” Itu saja yang dia cakap. Sudahnya memang abang tak dapat lagu dari beliau.

” Bila momentum kumpulan Laksamana semakin berkurang, akhirnya kami berpecah dan bawa haluan masing-masing. Abang balik semula ke kampung dan bekerja sebagai pembuat tangki proses sawit di Felda.

” Tahun 1995 abang ditawarkan untuk jadi pegawai perhubungan awam di ESE Productio,” katanya.

Gambar: Ahli kumpulan Laksamana, dari kiri: Nizam (vokalis), Man (gitar), Syam (dram) dan Rosli (bass)

Bercita-cita untuk bangkit kembali dengan album solo merupakan azam baharunya.

Kali ini beliau dibantu beberapa orang ‘kuat’ di belakang tabir antaranya, M. Nasir, Rahim Othman dan Awang BPR.

Namun sekali lagi rezeki tidak berpihak kepadanya apabila syarikat ESE yang menajanya ketika itu berhadapan sedikit konflik dengan syarikat pengedaran BMG yang bertanggungjawab memasarkan albumnya.

Berhenti jadi penyanyi, kerja jadi pemandu lori 

Akibat terlalu banyak ‘politik’ yang bermain di sekelilingnya, Nizam berpatah arang dan nekad berhenti menyanyi.

Pada 1995, dia akhirnya menamatkan zaman bujang dengan pilihan hati, namun sekali lagi dia merasa hilang arah kerana ketika itu dia langsung tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

” Hampir empat bulan abang ditanggung oleh isteri, waktu itu abang blur dan tak tahu nak mulakan kehidupan berumah tangga.

” Isteri cukup memahami dan faham perasaan abang ketika itu. Dia tidak pernah jemu nasihat supaya abang boleh bangkit kembali.

” Lepas kahwin abang kerja sebagai waiter di Menara Promet, pernah jadi driver lori kilang perabot tanpa lesen, semua itu tidak langsung mematahkan semangat abang untuk terus berusaha.

” Bagi abang rasa malu itu perlu letak ke tepi, yang penting ada makanan yang boleh disuap untuk keluarga.

” Pada 2016, Baggio Damasutra, pelawa abang menyanyi semula untuk projek kompilasi Penangan Rock yang diterbitkan oleh FMC.

” Bermula di situlah abang dapat banyak tawaran menyanyi sehingga ditawarkan dalam pertandingan program Gegar Vaganza pada 2015. Nampaknya selagi ada permintaan, selagi itulah abang akan terus berkarya,” akhiri Nizam.

Sumber:utusan

Kredit kepada penulis:Roshihan Annuar Bin Yub

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*