‘Bapa Aku Satu Sen Pun Tak Dapat’ – Anak Pengarah Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu Mula Bersuara

” Untuk pengetahuan, bapa aku tak dapat satu sen!”

Itu luahan Pelakon, pengarah dan penulis skrip, Shamaine Othman dalam satu ciapan di Twitter sebaik mengetahui sitkom bersiri popular era 80-an ke 90-an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu bakal bersiaran di platform Netflix.

Shamaine, 38, melahirkan kekecewaan kerana sitkom arahan bapanya dan semua yang terlibat dalam pembikinan sitkom tersebut tidak menerima sebarang bayaran atau royalti daripadanya.

Menurut Shamaine, keadaan itu membuatkan dirinya tidak berpuas hati apa lagi pembikinan sitkom tersebut sudah terlalu lama dan nasib yang sama turut dialami oleh kebanyakan siri sitkom lain selama ini.

Menerusi ciapan di Twitter, Shamaine turut berkongsi satu poster hebahan sitkom berkenaan termasuk sitkom Spanar Jaya yang akan ditayangkan di Netflix nanti.

Perkongsian Shamaine itu telah mendapat perhatian ramai pengikut yang juga terkejut dengan pendedahan anak pengarah terkenal itu.

Selain itu, Shamaine dalam satu ciapan lain tidak menyangka ciapannya berhubung royalti sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu menjadi tanda tanya ramai di media sosial.

” Saya pun tak jangka ciapan ini mendapat perhatian.

” Tidak dinafikan, memang bagus karya dan hasil kerja bapa saya, barisan pelakon dan seluruh pasukan produksi ini dilihat akan mendapat satu hidup yang baru di saluran Netflix.

” Tetapi adalah satu perkara yang memaIukan kerana kesemua mereka ini tidak menerima sebarang royalti dan bayaran tertentu untuk perkara itu,”katanya.

Menurut pelakon ini lagi, keadaan seperti itu bagai sudah menjadi satu ‘amalan normal’ selama bertahun-tahun yang menyaksikan pihak stesen televisyen mempunyai hak mutlak terhadap semua bahan kandungan di saluran rancangan mereka.

” Jadi kalau mengikut perundangan, memang tidak ada sebarang masalah andai pihak TV3 menjual bahan kandungan mereka kepada Netflix.

” Bapa saya dan semua yang lain telah berjuang untuk merubah industri ini tetapi sebagaimana yang anda semua nampak, tidak banyak yang boleh diubah.

” Malah, hampir semua aktor dan pasukan produksi semua filem-filem dan drama bersiri di negara ini menerima nasib yang sama, tidak mendapat royalti.

” Tukar kerajaan, tukar menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tapi industri masih sama. Dibanjiri dengan wang dana sana sini,”katanya.

Pelbagai reaksi diterima Shamaine menerusi pendedahan tersebut, namun antara yang mendapat ulang ciapan ialah komen daripada seorang pengguna yang menggunapakai akaun @chairmanGLC.

” Inilah sebab mengapa industri hiburan begitu teruk di Malaysia. Saya masih ingat lagi bagaimana seorang pelakon tambahan yang cuma menyebut sebaris dialog dalam siri popular Friends dan dia menerima ratusan dolar setiap tahun hasil royalti.

” Secara dasarnya, ternyata dia boleh mempunyai kehidupan yang baik cuma hanya hasil sebaris dialog itu,”katanya.

Selain itu ntizen turut menyarankan agar Shamaine yang juga berkerjaya sebagai seorang anak seni menyalurkan suaranya kepada pihak Netflix atas ketidakadilan perkara tersebut.

” Tolong salurkan suara anda kepada Netflix. Dave Chapelle (pelawak antarabangsa) juga berdepan situasi sama sebelum ini. Chappelle’s Show dimiliki oleh ‘comedy central’ dan Netflix kemudian bertindak memadamnya dari platform tersebut kerana Dave tidak mendapat sebarang keuntungan,” saran seorang ntizen.

Komen itu kemudian dibalas Shamaine;

” Terima kasih kerana memberi peringatan ini kepada saya. Akan cakap dengan bapa saya (Othman Hafsham). Saya tahu dia berasa sangat gembira kerana siri ini akan ditayangkan kepada audiens yang ramai tapi perkara ini harus mendapat pertimbangan.”

Sitkom komedi popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu merupakan idea asal Hatta Azad Khan dan diarahkan oleh Othman Hafsham sekitar tahun 1985 hingga 2004.

Ia telah dibarisi oleh nama-nama besar dalam industri seperti Allahyarham Zami Ismail, Allahyarham Ahmad Busu, Imuda, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Sulaiman Yassin, Marlia Musa, Angeline Tan, Sathiya dan mendiang Accapan.

Sitkom ini juga pernah dipentaskan di Istana Budaya (IB) sekitar tahun 2006.

Sumber:utusan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*