‘Tiba2 Zizi Kirana Call Cakap Nk Kahwin Dlm Masa Terdekat.. Biar Betul Nak Pakai Hitam’ – Pereka Fesyen

” Sejujurnya, sangat ‘last minute’…”

Demikian pendedahan pereka fesyen terkenal, Shanell Harun selepas busana busana yang digayakan oleh penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Yusuf Bahrin ketika majlis pernikahan mereka semalam mendapat perhatian ramai.

Berdasarkan respon peminat dan rakan artis yang memberikan komen di Instagram penyanyi itu, ramai merasakan persalinan songket hitam benang emas yang mendapat sentuhan Shanell itu cukup segak dan bertepatan dengan klasik.

Shanell berkata, busana yang disarung Zizi itu disiapkan dalam masa yang singkat.

” Kos busana lelaki dan perempuan semuanya bernilai kira-kira RM16,OOO dan saya juga terkejut apabila diberitahu oleh Zizi dalam masa yang singkat.

” Tiba-tiba Zizi menghubungi saya dan dia kata dia mahu bernikah dalam masa terdekat. Saya siapkan dalam masa tujuh hingga ke lapan hari. Saya teruja apabila busana mereka mendapat perhatian.

” Apabila Zizi mengatakan dia mahu memilih warna hitam untuk majlis nikah, saya bertanya semula kepadanya, ‘biar betul, jarang dibuat orang nikah pakai baju hitam?’

” Saya dah lama buat baju Zizi dan saya tahu warna kegemaran dia hitam. Tak sangka pula dia mahu memilih rona terbabit untuk majlis istimewanya dan dia memilih ‘look’ yang klasik,” kata Shanell ketika dihubungi Xtra.

Tambah Shanell, dia gembira kerana dapat menyiapkan Zizi di hari bahagianya.

” Alhamdulillah, saya sendiri rasa bersyukur kerana dapat menghasilkan sesuatu yang klasik dan ‘timeless’ untuk artis yang sudah saya anggap sebagai seorang sahabat.

” Saya dah lama berkawan dengan Zizi, semenjak saya belajar di Universiti Teknologi MARA lagi. Dia seorang yang sangat perahsia, bila dia hubungi saya cakap dia nak kahwin, saya pun masih tak tahu siapa pengantin lelaki.

” Bila Zizi bawa untuk mencuba busana nikah, barulah saya tahu Zizi bakal berkahwin dengan Yusuf.

” Sebagai kawan, saya sangat bersyukur melihat Zizi mengecap bahagia dan bertambah gembira apabila baju itu viral serta ramai pula pelanggan yang mahukan busana nikah klasik seperti Zizi gayakan.

” Ramai orang tak tahu yang Zizi ni sangat bekerja keras pagi petang siang malam, ambik setiap peluang dan ruang yang ada untuk jadi celebrity Malaysia yang boleh di banggakan.

” Bab Cinta, saya akui Zizi mmg pandai sorok dan saya sendiri pun tak dapat meneka dengan siapa dia ni bercinta.

” Yang saya perasan, sikit sikit Zizi ni berubah. Dari segi berpakaian, percakapan, kelakuan, semua berubah. Berubah menjadi lebih baik.

” Hari ni adalah hari yang saya paling nanti-nantikan selama 10tahun kita berkawan. Hari di mana saya tahu kawan baik saya ini akan dijaga, disayangi, dan dicintai dengan setulus hati.” katanya.

Zizi akui suka lelaki lebih muda

Dalam pada itu, Zizi Kirana berkata beliau begitu menyenangi sikap suaminya, pelakon Yusuf Bahrin yang sopan santun dan matang.

Selamat dinikahkan di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju pada jam 10.40 pagi tadi, jarak usia tujuh tahun juga tidak menghalang untuk mereka menjalinkan hubungan.

” Kami hanya berkenalan selama dua bulan dan Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. 29 Ogos lalu kami bertunang secara virtual. Saya senang dengan Yusuf kerana dia merupakan seorang lelaki yang sopan dan matang berbanding usianya.

” Yusuf menerima saya seadanya walaupun saya lebih tua daripada dia. Saya tak rasa kekok dan janggal dengan Yusuf biarpun dia lebih muda. Lagipun saya kan suka lelaki yang lebih muda, saya suka anak ikan,” seloroh Zizi.

Bercakap soal cahaya mata, mereka menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir.

” Soal anak, kami tak meletakkan sebarang sasaran. Kalau ada rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, kami terima. Kami serahkan kepada Allah sahaja.

” Sejujurnya, saya merancang nak kahwin pada usia 35 tahun bila ada rumah, ada bisnes. Tetapi ini adalah aturan Allah, hati saya digerakkan untuk berkahwin pada usia sekarang. Kalau ikut karakter pun, saya yang nampak lebih tua berbanding Zizi.

” Jodoh sudah tertulis jadi umur tidak penting. Apa yang penting adalah hati yang ikhlas dan jujur. Saya suka perwatakan Zizi yang sangat bersahaja. Perkara itu membuatkan saya terpikat.

” Zizi seorang yang baik hati dan menghormati orang tua. Cara dia cakap dengan saya pun sangat lembut. Tapi, bila cakap dengan kawan-kawan, caranya macam gngster pula,” kata Yusuf sambil ketawa.

Bercakap soal bulan madu, pasangan ini belum merancang untuk bercuti kerana kerjaya seni masih berjalan seperti biasa namun mereka mempunyai impian untuk menunaikan ibadah umrah di Makkah apabila sempadan antarabangsa dibuka kelak.

Sumber:xtra.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*