‘Saya Terdesak Sangat-Sangat, Duit Simpanan Dah Habis’ – Fendy Caliph Buskers

” Mungkin saya akan balik kampung di Ipoh kalau tak boleh survive..”

Itu luahan pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun yang mahu pulang ke kampung halaman di Perak adalah jalan terakhir seandainya masalah kewangan yang dihadapinya tidak dapat diatasi dalam tempoh sebulan.

Menurut Fendy, 30, dia sudah menggunakan hampir kesemua wang simpanannya untuk menyara kehidupan bersama seorang anak.

” Hampir tiga bulan saya dah macam nyawa-nyawa ikan. Sudah hujung-hujung sebab terdesak sangat.

” Duit simpanan dah habis… setahun lebih saya survive gunakan duit simpanan.

” Sampai satu tahap saya rasa dah tak boleh… kena buat sesuatu. Itu yang saya buat video untuk dapatkan bantuan, ” ujarnya kepada mStar.

Fendy ditemui ketika lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur.

Selain Wan Ahmad Fayhsal, rintihan Fendy turut menarik perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Pada Jumaat Fendy memuat naik video di Facebook bertujuan meminta bantuan rumah mampu milik di sekitar Kuala Lumpur daripada pihak berwajib.

Kata Fendy yang tinggal berasama anaknya Nur Azalea Zafirah, 6, masalah kewangan membuatkan dia sukar untuk membayar sewa rumah dan utiliti.

” Saya fikir kalau tak dapat nak survive dekat sini mungkin saya akan balik kampung di Ipoh dan tunggu sampai keadaan baik semula.

” Kalau tak ada bantuan, bulan depan adalah bulan terakhir saya duduk di rumah ni sebab tak boleh bayar. Saya pindah sini bulan April dan tinggal berdua dengan anak.

” Alhamdulillah bab makanan memang tak putus tapi masalah nak bayar sewa rumah dan utiliti.

Dalam pada itu Fendy meluahkan rasa syukur kerana ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Ujarnya lagi, dia akan terus membuat persembahan busking menerusi online untuk mendapatkan sumbangan menerusi Facebook page miliknya.

” Saya tak mampu nak kata apa, saya minta bantuan semalam hari ini sampai. Saya sangat-sangt berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu.

” Saya akan terus buat busking secara online untuk mendapatkan sumbangan, ” katanya.

Fendy Mohon rumah PPR

Terdahulu keperitan hidup yang menimpa Fendy sudah mendapat perhatian kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pihaknya akan memastikan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini pernah dimohon Fendy, diuruskan dalam kadar segera.

” Saya akan bawa pegawai DBKL untuk proses permohonan ini dan diselesaikan secepat mungkin… rumah yang disewa ketika ini RM1,300 sebulan.

” Beliau sebelum ini merupakan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi sejak tahun 2019 disebabkan pendapatan melebihi sepatutnya, beliau tidak dapat bantuan itu secara berterusan dan dihentikan,” katanya selepas melakukan kunjungan ke kediaman Fendy di sini, hari ini.

Rina berkata, bagaimanapun dalam keadaan pandemik kini, ramai yang terjejas termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

” Kerajaan tidak meminggirkan OKU dan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ada pakej bantuan untuk OKU terjejas pendapatan iaitu bantuan RM500 sebulan selama tiga bulan berturut-turut membabitkan peruntukan RM30 juta.

” Saya juga sudah berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk bantuan melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) dan Dana Kreatif Malaysia kepadanya.

” Sukarelawan akan memantau kelangsungan hidup bapa tunggal itu dengan anak perempuannya Nur Azalea Zafirah berusia 6 tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang turut melawat Fendy, berkata pihaknya akan membantu Fendy untuk menjana semula pendapatan melalui sistem “freelance” ekonomi yang dibina bersama KKMM di bawah program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi myGIGI dan Glow.

” Kita akan raih sumbangan secepat mungkin bagi membeli set dram elektrik untuk beliau mencari nafkah hidup secara dalam talian,” katanya.

Dua set dram yang sebelum ini menjadi punca mata pencarian Fendy telah dijual sebagai usaha untuk menampung perbelanjaan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang juga OKU penglihatan,

Fendy berkata, dua set dram kesayangan yang dibelinya sekitar RM4,500 terpaksa dijual pada harga RM1,500-RM2,000 selepas wang simpanannya semakin berkurang.

Kalau saya celik sudah tentu saya buat Foodpanda

” Saya agak terbeban untuk tampung sewa rumah, bil utiliti dan sebagainya sejak Januari 2020 bila tiada lagi persembahan dan hanya menggunakan duit simpanan untuk kelangsungan hidup.

” Sekarang saya ada buat ‘busking’ secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam menerusi Facebook dan YouTube dan ini juga antara usaha untuk jana pendapatan setakat apa yang saya mampu, kalau saya celik sudah tentu saya buat Foodpanda atau Grabfood,” katanya.

Semalam, tular sebuah video yang telah dimuat naik ke laman media sosial memaparkan pemuzik ini yang membuat pemakluman kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bebanan yang sedang ditanggung dirinya untuk menyara anak perempuannya berikutan pandemik COVlD-19.

Fendy berkahwin dengan seorang lagi anggota Caliph Buskers iaitu Nadira Rubina pada 3 Mei 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Pasangan ini bercrai pada tahun 2018.

Selain Fendy dan Nadira, Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi Saat, Zaki Ismail dan Nirwan Zainalabidin.

Sumber:mstar dan bharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*