Tak Pernah Lupa Asal Usul, Awie Umum Berita Gembira Wings Bakal Masuk Felda Dan Ceruk Kampung

‘Naga Kramat’ menjadi pilihan kumpulan Wings untuk konsert terakhir mereka di Lembah Klang yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.

Ia seakan memberi gambaran mengenai kehebatan kumpulan berusia 37 tahun ini apabila berada di pentas terbaru yang gah dan menjadi impian ramai artis untuk beraksi.

Tidak keterlaluan juga dikatakan 2022 menjadi tahun yang agak sibuk bagi kumpulan ini.

Selain beraksi di negara sendiri, Wings juga bertandang ke negara jiran Singapura baru-baru ini sempena perlumbaan Formula 1 (F1).

Pastinya sesuatu yang mengujakan apabila konsert anjuran MW Mega Production dan Awie Entertainment ini menerima sambutan menggalakkan apabila 80 peratus sudah terjual setakat ini.

” Alhamdulillah atas sokongan yang diberikan peminat. Saya bersyukur sangat-sangat, Allah duga kami supaya lebih berhati-hati dan ingat Dia.

” Juga yang penting jangan lupa diri. Apapun sekarang adalah masa untuk kami sungguh-sungguh jaga kesihatan, jaga silaturahim dan jaga penyokong Wings yang tak putus-putus beli tiket.

” Alhamdulillah… esok, lusa kami akan ke Singapura lagi untuk menjayakan persembahan. Tiket untuk dua persembahan ini habis terjual dalam tempoh yang pantas,” kata Datuk Awie mewakili anggota lain.

Pergi umrah bersama anggota Wings

Awie berkata, tiket Konsert ‘Naga Kramat’ hanya berbaki untuk penonton berdiri sahaja.

” Tempat Royal Box pun habis dijual. Bayangkan kami tak cukup permintaan. Hanya ada lapan seat berharga RM10,000,” jelasnya.

Biarpun gembira dengan perkembangan positif ini, Awie secara bergurau menjelaskan kerisauannya dengan fenomena ini.

” Jadi apa petanda sebenarnya? Kami pun risau adakah ini petanda yang baik atau tak lama lagi Wings akan habis? Apapun Insya Allah kita selesaikan agenda sepanjang Oktober ini.

” Bulan November ini kami akan pergi umrah bersama. Itu panggilan Dia. Dia dah bagi rezeki lebih, maka kami pergilah. Kami pergi berlima, sesiapa nak bawa keluarga boleh saja,” katanya.

Wings bakal masuk kampung dan Felda

Selepas selesai umrah, Wings menetapkan berehat untuk sebarang aktiviti dan hanya akan aktif semula selepas Aidilfitri tahun depan.

” Saya rasa dah tak boleh nak push lagi kerana dah terlalu banyak show yang ada sekarang.

” Dah terlalu banyak artis nak buat persembahan. Kami tak nak berlumba kacau penjualan tiket mereka.

” Ada baiknya kita rehat dulu. Lepas hari Raya baru mulakan semula. Apapun ini semua sekadar perancangan. Kita tak tahu sepanjang tempoh itu mungkin ada tawaran yang bagus juga.

” Mungkin kami ambil satu dua sahaja tapi perancangan tahun depan nak buat tour masuk kampung dan Felda.

” Wings nak menghiburkan peminat pelbagai peringkat dan status dengan tiket bersesuaian,” katanya.

Bagi memenuhi misi mereka, Wings kini berusaha mendapatkan tajaan beberapa pihak.

” Kami sememangnya bermula dari situ. Dulu kami pernah main dalam ladang kelapa sawit. Peminat suka kami datang jumpa mereka berbanding hanya lihat aksi kami menerusi media sosial.

” Tak kisahlah hanya dewan yang boleh memuatkan sekitar 1,000 penonton, kami tetap akan beraksi menghiburkan mereka,” katanya.

Mengulas pertanyaan berkenaan penggunaan nama ‘Naga Kramat’ yang dikatakan mempunyai nilai sentimental terhadap Wings, Awie berkata, perkara terbabit tidak pernah difikirkannya sebelum ini.

” Saya pun tak terfikir soal masuk balik Wings menerusi album itu. Saya hanya fikirkan tajuk yang best.

” Satu nama gah untuk tarik peminat. Akhirnya datang idea letak nama Naga Kramat. Tapi mungkin ia ada bersangkut paut juga.

” Ia ada nilai sentimental juga. Di sini bermulanya kembali saya dengan Wings selepas keluar. Saya akan cuba ikhtiarkan segmen album ‘Naga Kramat’ dalam konsert itu nanti,” katanya.

‘Naga Kramat’ adalah tajuk album ke-10 Wings yang diterbitkan pada 2002 selepas Awie kembali menyertai Wings.

Sumber:hmetr0

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*