Baru Je Kena Pecat, Sekali TMJ Tawarkan Kerja Buat KJ Dan KJ Terus Balas Balik

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim nampaknya tidak menunggu lama untuk ‘meminang’ Khairy Jamaluddin bagi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini.

Tawaran itu dibuat oleh pemilik JDT itu di laman Story Instagram miliknya hari ini.

Dalam tulisannya, beliau mahu melantik Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ sebagai CEO kelab dan juga penasihat pembangunan akar umbi pasukan terbabit.

” CEO masa depan JDT dan penasihat pembangunan Johor,” tulisnya.

Keinginan Tunku Ismail itu dilihat tepat di mana Khairy cukup meminati sukan bola sepak.

Malah, bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga amat berpengalaman dalam hal ehwal bola sepak tempatan apabila pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Khairy juga adalah bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018 di mana beliau mengilhamkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi melahirkan pemain muda berbakat yang boleh dipasarkan ke luar negara.

Mungkin bekas Menteri Kesihatan itu boleh mempertimbangkan tawaran terbabit kerana beliau kini dilihat memiliki banyak masa terluang selepas tidak lagi aktif dalam politik apabila dipecat oleh UMNO, semalam.

KJ balas balik respon TMJ

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Insta Story IG, Khairy dilihat membalas kepada hantaran TMJ yang mempelawa beliau untuk menjadi keluarga JDT.

” One door closes, other will open. Rezeki ditangan Allah” tulis Khairy sambil berkongsi hantaran yang ditulis TMJ.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda Umno itu menegaskan proses pemecatan keahlian partinya tidak mengikut proses biasa, khususnya membabitkan Lembaga Disiplin.

Beliau mengesahkan tiada juga sebarang surat tunjuk sebab diberi serta pendengaran daripada Lembaga Disiplin dilakukan sebelum pengumuman pemecatannya dilaporkan media malam tadi.

” Mengesahkan tiada proses sewajarnya. Tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.

” Secara ringkasnya dan dibuang dalam tempoh satu hari daripada parti yang saya setia selama 23 tahun,” katanya menerusi Insta Story akaun Instagram beliau hari ini.

Sementara itu, media juga melaporkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipetik tidak akan membuat rayuan selepas dipecat daripada Umno kerana tidak yakin dengan keputusan yang dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

” Bila sudah dipecat, pasti nak kena fikir soal masa depan politik. Apakah langkah seterusnya dan ada minta saya buat rayuan.

” Tetapi saya rasa tak yakin dengan undang-undang rimba yang dipakai oleh presiden yang mana pemecatan itu dibuat tanpa mengikut proses biasa.

” Kalau hantar pun ia tidak dilayan. Jadi saya rasa buang masa saja nak buat rayuan. Kalau inilah cara dia buang saya maka memang tidak ada keadilan (dalam parti),” katanya dipetik menerusi laporan media itu.

Khairy dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin Umno terbaru yang dipecat daripada parti itu selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Umno Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kasim.

Keputusan pemecatan itu dibuat pada MKT Umno yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan pula digantung keahliannya selama enam tahun.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya malam tadi turut mengesahkan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga digantung enam tahun, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Baru Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.

Turut dipecat malam tadi, lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno negeri Pahang.

Sumber:hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*