(VIDEO) ‘Sudah lapan tahun saya tunggu cincin itu’ – Diana Danielle Akhirnya Dedah Punca Fail Pnceraian

Pelakon Diana Danielle menepis dakwaan dia curang seperti didakwa suaminya iaitu Farid Kamil sehingga membuatkan dia mahu bercerai.

Diana atau Diana Danielle Danny Benson, 32, menegaskan tindakan Farid yang dilihat seolah-olah berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka disifatkan untuk kepentingan diri sendiri dan mahu menutup malu.

“Itu fitnah. Kalau betul saya kantoi (curang), kenapa perlu bawa bunga hari ini?

“Dia bukan nak selamatkan rumah tangga, dia nak selamatkan muka sendiri,” katanya kepada pemberita.

Diana menjawab tuduhan itu ketika ditemui selepas selesai proses lantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada Selasa.

Dalam pada itu, Diana menyifatkan tindakan Farid membeli sebentuk cincin bersempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-11 yang bakal disambut November depan sebagai sia-sia.

Kata Diana, dia tetap dengan keputusannya untuk meneruskan proses penceraian mereka.

“Cincin yang dia nak beri itu ialah cincin yang dia dah hilangkan selama lapan tahun. Hari ini baru nak belikan balik? Sudah lapan tahun saya tunggu cincin itu.

“Kalau saya ada orang ketiga, kenapa nak beri cincin? Iya, saya teruskan proses cerai,” tegasnya.

Farid tiba di mahkamah dengan membawa sejambak bunga ros merah sebagai tanda langkah pertama cubaan memujuk isterinya itu selepas berlaku kemelut dalam rumah tangga.

Ketika bertemu media, Farid mendakwa isterinya itu bersikap curang dan dia sudah menyedari perkara tersebut sejak tahun lalu.

Susulan proses mahkamah yang berlangsung, Farid akan diwakili oleh sepupunya dalam JKP manakala Diana pula melantik pengurusnya dalam usaha menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan terbabit.

Pada 20 Mac lalu, Farid dan Diana hadir ke mahkamah bagi sebutan kes perceraian yang difailkan oleh isterinya itu pada awal Mac.

Bagaimanapun Farid enggan melepaskan Diana dengan alasan masih sayangkan isterinya.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun.

Sumber:mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*